Penapisan Internet

Soalan dari seorang pelajar:
Dalam melayari laman web yang tidak sesuai untuk tatapan kanak-kanak, adakah ada kaedah menyekat kemasukkan laman web yang tidak diingini? Adakah ada pendekatan,hanya perlu memasuki sistem komputer dengan hak pentadbiran? Kalau ada, bagaimana kaedah,cara serta setting yang perlu dibuat? Atau perlu satu perisian khas sebagaimana yang hangat diperkatakan sekarang ini?

Isu penapisan Internet bukannya satu isu baru. Ianya sudah diperdebatkan di serata dunia untuk sekian lama. Hanya di Malaysia sahaja kita baru mula sedar akan isu ini.


Penapisan Internet ada dua jenis. Yang pertama adalah penapisan individu yang dilakukan oleh individu bagi dirinya sendiri atau keluarga. Penapisan yang kedua adalah penapisan kelompok pengguna yang dilakukan oleh organisasi atau kerajaan untuk kelompok pengguna yang besar.


Tidak ada siapa yang menafikan pengguna mempunyai hak untuk menapis Internet bagi diri atau keluarganya. Untuk membantu anda melakukan ini, beberapa kaedah boleh diamalkan. Kaedah yang paling mudah adalah menggunakan ciri sedia ada dalam Windows Vista dan Windows 7. Perisian Windows Vista dan Windows 7 mempunyai ciri Parental Control (kawalan ibu/bapa) yang membenarkan seorang pentadbir sistem (yang mempunyai akaun dengan hak Administrator) mengenakan berbagai jenis sekatan atas akaun pengguna lain bagi mengawal bagaimana pengguna tersebut menggunakan Internet dan komputer. Teknik untuk melakukan ini akan didedahkan dalam satu fail demonstrasi yang akan kami sediakan kelak untuk dimuat turun oleh pelajar Kursus Internet COMPU Studies.


Isu kedua yakni penapisan Internet bagi kelompok pengguna adalah isu yang lebih hebat diperkatakan. 

Lazimnya adalah diterima bahawa organisasi seperti sekolah, IPT, pejabat kerajaan dan swasta yang memberikan khidmat Internet percuma kepada kaki tangan dan pelajar mereka memang mempunyai hak untuk mengawal bagaimana pengguna mereka menggunakan khidmat Internet yang disediakan oleh organisasi tersebut.


Namun apabila penapisan Internet cuba dilakukan ke atas pengguna awam yang membayar untuk akses Internet, ianya menjadi isu sensitif. Isu ini semakin sensitif apabila penapisan Internet itu cuba dilakukan oleh pihak kerajaan yang mungkin ada motif dan agenda politik mereka sendiri. Dakwaan bahawa kerajaan boleh melakukan ini demi menjaga akhlak pengguna sudah tidak boleh dipakai lagi diera moden ini kerana pengguna sendiri lebih berhak menentukan perkara ini. Tambahan pula teknologi untuk melakukannya sudah sedia ada di dalam setiap komputer. Jadi terserahlah kepada pengguna sama ada hendak menggunakannya atau tidak. Adalah dianggap tidak wajar bagi pihak ketiga menentukan bagi semua pengguna apa yang dianggap "baik" dan "tidak baik" di Internet. 


Adalah diharap catatan ringkas ini membuka minda pengguna akan isu penting seperti penapisan Internet dan menyedarkan pengguna bagaimana isu ini berkait rapat dan hak pengguna. Moga - moga kita menjadi pengguna yang lebih peka, waras, bijak dan mahir.